Ahad, 31 Julai 2011

Sejarah prasekolah SK Tema

Prasekolah ini diwujudkan pada awal tahun 2007 dan merupakan salah sebuah kelas perluasan kelas prasekolah di Zon Serian. Kelas ini menggunakan 2 buah rumah guru sebagai kelas dan dapur. Mula-mula diwujudkan kelas ini cuma mempunyai kerusi dan meja ehsan dari SK Kujang Mawang.  Perkakasan lain di ambil dari bangunan kelas perdana. Peralatan dapur pula cuma dapur dan tong gas sahaja manakala perkakas memasak yang lain dipinjam dari RMT. Kebanyakan peralatan adalah sumbangan guru dan PPM. Bermulalah kelas ini pada tahun 2007 bersama dengan 10 orang murid yang kesemuanya adalah perempuan. Saya pula merupakan guru arus perdana yang terpaksa terjun menjadi guru prasekolah,satu jawatan yang tidak pernah saya fikirkan dahulu. PPM saya pula Puan Anna Jerin,berasal dari Bau dan menetap di Kuching juga merupakan PPM ambilan baru yang tiada pengalaman bersama prasekolah. Bersama-sama beliau,saya merangkak dan bekerjasama,belajar serta cuba memahami  pentadbiran dan pengurusan kelas prasekolah SK Tema ini.
Biarpun masih baru dan tanpa pengalaman serta dibantu oleh Guru Besar serta guru-guru lain yang tidak lokek ilmu dan tenaga, prasekolah SK Tema terus maju dan berkembang dari tahun ke tahun. Sedikit demi sedikit berserta dengan kursus dan bimbingan berterusan dari PPD Serian, saya dan ppm saya mula menguasai ilmu pengurusan dan pentadbiran prasekolah. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah membantu kami selama ini. Semoga prasekolah SK Tema terus maju dan gemilang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan